Sabtu, 29 Oktober 2011

PERGERAKAN ASAS LOKOMOTOR - PART 1 (BERJALAN)

Untuk membiasakan guru dengan cara menggunakan dan melaksanakan pergerakan-pergerakan asas sama ada lokomotor mahupun bukan lokomotor, analisanya telah dibuat dalam bentuk penerangan ringkas. Diharapkan penerangan ini dapat difahami oleh guru supaya konsep setiap pergerakan menjadi jelas. Kata kunci dan frasa tertentu dicadangkan sebagai panduan pengajaran atau untuk tujuan merangsang pembetulan.

(a) Kemahiran Lokomotor Asas

Berjalan


Berjalan ialah kemahiran yang paling asas yakni kita banyak melakukannya dalam kehidupan kita sehari-hari. Banyak kanak-kanak mempunyai tabiat yang salah. Hal ini biasanya memenatkan beberapa bahagian badan yang lain, selain kaki, dan juga menggunakan tenaga berlebihan yang sepatutnya boleh dikurangkan. Imbangan badan yang betul semasa berjalan dan mekanisme yang sesuai boleh membuat seseorang itu berjalan dengan gaya yang betul.

Gaya berjalan yang biasa merupakan pergerakan merentasi ruang dengan memindah-mindahkan berat badan dari satu kaki ke kaki yang lain. Semasa berjalan, hujung kaki hendaklah menghala lurus ke hadapan dengan sisi bahagian dalam kedua-dua belah kaki seolah-olah mengikut satu garisan lurus. Tangan melenggang bebas berselang-seli mengikut arah kaki melangkah. Perlakuan seumpama ini dapat memberi imbangan badan sambil dapat pula membawa bahagian badan bergerak ke hadapan. Terdapat ketikanya apabila kedua-dua tapak kaki menyentuh tanah dan pada masa inilah satu tapak berpijak yang baru terhasil bagi menahan anggota badan daripada rebah. Kedudukan badan hendaklah sentiasa tegak dan dalam keadaan yang lega.





Frasa pengajaran penting:

• Ayun langkah dari paras punggung;
• Berpijak di tumit dan biarkan berat badan beralih pantas di sepanjang bahagian sisi luar tapak kaki sehingga   ke hujung ibu jari;
• Ibu jari kaki menghala lurus ke hadapan;
• Berjalan dengan lembut;
• Muka dongak dan memandang lurus ke hadapan; dan
• Melenggangkan lengan dan tangan secara bersahaja.

Cadangan untuk penelitian:


• Berjalan tegak-tinggi, kemudian berjalan tegak berjengket yakni lebih tinggi;
• Jalan berundur kemudian ke hadapan;
• Berjalan seperti robot atau askar permainan;
• Berjalan seperti gergasi;
• Berjalan seperti gorila, gajah, anjing cedera di kaki;
• Berjalan seperti barang mainan berkuasa bateri;
• Berjalan seperti patung-patung kawalan tali;
• Berjalan bebas (tekankan imbangan yang baik);
• Berjalan setempat, ke hadapan, ke belakang, ke kiri, ke kanan dan dalam bentuk zig zag;
• Berjalan mengikut gabungan mana-mana cara di atas;
• Berjalan berjengket, di atas tumit, mengangkat lutut tinggi, kaki jegang dan berjalan seperti berkawat;
• Berjalan perlahan dengan langkah besar dan langkah kecil;
• Berjalan pantas dengan langkah besar dan langkah kecil; dan
• Berjalan perlahan sambil menurunkan dan meninggikan badan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sOCCER !!!

Cuteki cute

MEET me again !!!